Hari-hari kebelakangan ini mengajar aku erti kedewasaan. Dari mata seorang sahabat, aku mengenal erti sebuah pengorbanan, erti kekecewaan, erti perjuangan, erti persahabatan dan yang paling penting mengenal semula kebijaksanaan dan kekuasaan Allah s.w.t, Tuhan sekalian alam.
Pengalaman sahabatku telah mengejutkan aku dari kealpaan. Walaupun berbeza pengalaman dan ranjau hidup, aku juga telah alpa daripada memenuhi tuntutanNya akibat keghairahan memenuhi tanggungjawab duniawi, . Hiba bila difikirkan kebijaksanaan yang dikurniakan ini tidak digunakan dengan sebaik-baiknya untuk lebih mendekatiNya.
Namun, aku bersyukur kerana pertolongan Allah ini telah membuka mata ku dengan lebih luas untuk hidup lebih berpaksikan agama Allah. Mungkin transformasi diri yang aku alami ini tidak se-drastik yang aku harapkan, namun ianya merupakan satu langkah ke hadapan buatku.
Dari mata kasar yang memandang, mungkin aku masih seperti diriku yang lama, namun biarlah, itu kata orang. Catatan blog ini bukan bertujuan untuk mempertonton keimanan yang cuma baru sejengkal, ianya sekadar satu rujukan untuk hari tua ku, agar aku sentiasa beringat-ingat.
Untuk sahabatku, aku turut mendoakan agar kau temui jalan yang terbaik buat mu dan kebahagiaan yang engkau cari. Amin.